Malu..? Apa takrifnya..?  

Posted by XgrattO

Perasaan malu adalah pengalaman universal, yang pernah dialami oleh hampir setiap individu sama ada pada usia kanak-kanak mahupun dewasa. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah kanak-kanak atau orang dewasa mempunyai perasaan malu yang keterlaluan berbanding orang lain di dalam hal-hal yang tidak sepatutnya mereka merasa malu. Sebagai contoh, ada orang yang terlalu malu sehingga tidak sanggup pergi ke restoran, tidak sanggup memandang muka orang lain dan ada yang sanggup memilih untuk mati daripada bercakap di hadapan khalayak ramai. Malu adalah diantara tingkah laku yang banyak dikaji oleh pakar-pakar psikologi dari semasa ke semasa.

Sangat sukar untuk mendefinasikan dengan tepat apa yang dimaksudkan dengan malu. Ini adalah kerana malu membawa maksud yang berbeza-beza kepada individu yang berbeza (Zimbardo, 1977). Perbezaan ini adalah disebabkan oleh kecenderungan serta banyak aspek yang dilihat dan setiap aspek boleh memberi makna yang agak berbeza terhadap penyelidik yang berbeza. Selain daripada itu perbezaan ini juga adalah berdasarkan pengalaman yang dialami oleh mereka yang pemalu berbeza-beza diantara seseorang individu dengan individu yang lain.
Mari kita ikuti definisi malu mengikut beberapa pandangan...

Pandangan Islam :

MALU dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Haya’. Para ahli bahasa, iaitu Imam al-Nawawi Rahimahullah, berkata al-Haya’ berasal dari kata Hayah yang bererti kehidupan. Ini bererti bahawa, antara ciri utama yang menandakan kehidupan sesuatu ialah sifat malu yang ada pada dirinya. Dengan sifat malu inilah seseorang itu memiliki akhlak yang mulia, budi pekerti yang luhur, prinsip hidup yang tinggi, nilai kemanusiaan yang peka dan keprihatinan kepada apa jua perkara yang buruk lagi dilarang agama.

Justeru tidak hairanlah apabila Islam memberi penekanan yang amat tinggi terhadap sifat malu. Bahkan Rasulullah s.a.w. telah menyifatkan malu sebagai salah satu ciri keimanan..:

* Baginda pernah bersabda: “Iman terdiri daripada tujuh puluh bahagian dan malu ialah salah satu daripada bahagian itu.” [Shahih Muslim, no: 35]

* Tidaklah seseorang itu menghiasi dirinya dengan sifat malu melainkan ia membawa kebaikan kepadanya dalam kehidupan ini. Rasulullah s.a.w. menyatakan hakikat ini: “Malu tidak akan datang melainkan dengan kebaikan.”
[Shahih Muslim, no: 35]

* Tentu saja hal ini akhirnya akan membawa seseorang itu ke syurga: “Malu ialah sebahagian daripada iman dan iman itu tempatnya ialah syurga. Sedangkan perkataan yang kotor ialah sebahagian daripada hati yang keras (yakni tidak malu) dan hati yang keras itu tempatnya ialah neraka.” [Shahih Sunan
al-Tirmizi, no: 2009]




Pandangan yang lain :

Disini dikemukan beberapa takrifan yang telah diberikan oleh mereka yang terlibat dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan malu...


* Philips (1981) mengatakan bahawa malu adalah satu keadaan yang datang kepada kita apabila bertemu dengan situasi sosial yang mana kita tidak mempunyai kemahiran untuk menghadapinya.

* Izard dan Hyson (1986) menyatakan malu merujuk kepada gabungan berbagai-bagai perasaan emosi termasuk perasaan takut dan minat, ketegangan fikiran dan ketenangan.

* Buss dan Crozier (1986) mengatakan malu adalah satu penyakit kebimbangan. Ia berkaitan dengan perasaan emosi yang tidak selesa dan bimbang dalam situasi sosial.

* Ghassan Yacob (1986) mendefinasikan malu sebagai kehilangan ketenteraman sanubari dan keberanian di samping kegelisahan yang diiringi kegugupan, membawa kepada perasaan rendah diri dan serba salah ketika menghadapi situasi-situasi baru atau orang-orang yang tidak dapat dikenal.

* Leavy (1989) menyatakan bahawa malu melibatkan perasaan bimbang dan tingkahlaku yang terhalang daripada bersosial dengan orang lain.

* M.Grams (2002) pula mendifinasikan malu sebagai satu reaksi kepada interaksi sosial di mana seseorang individu itu merasa tidak selesa, asyik memikirkan sesuatu atau merasa amat malu terhadap tingkahlaku sendiri. Ia tidak berdaya untuk mempercayai diri sendiri untuk melakukan atau mengatakan sesuatu itu betul atau salah.


Apabila dinilai takrif malu daripada dua pandangan jurusan yang berbebeza dia atas, dapatlah kita rumuskan bahawa Islam amat menitik beratkan perasaan malu kerana ia adalah salah satu komponen iman manakala, pandangan dari sudut ke dua yang majoritinya dari barat berpendapat pula bahawa malu adalah sebagai gabungan berbagai perasaan emosi yang tidak tenteram yang dikawal oleh hati meliputi perasaan bimbang, ketegangan, serba salah, rasa rendah diri dan tidak percaya kepada diri sendiri serta bimbang terhadap penilaian negatif daripada orang lain. Seterusnya perasaan tersebut ditunjukkan melalui tingkah laku yang terhalang, ketika menghadapi situasi sosial yang baru dihadapi. Pandangan dari jurusan ini tidak pula menyatakan peri pentingnya perasaan malu ini bagi tiap-tiap individu.

This entry was posted on 10:22 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments